Pengarah KPDN KL, Mohd Sabri Seman (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN WPKL, Mohd Shahran Mohd Arshad (kanan) melihat 14,300 barangan rampasan seperti pasang selipar dan kasut tiruan berjenama di Stor Penyimpanan Barangan KPDNKL di Segambut, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 18 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan stor barangan tiruan dirampas  dalam serbuan dilakukan di sebuah kompleks pemborong yang terletak bersebelahan Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, pada 16 Jun lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, nilai rampasan mencecah RM400,00 melibatkan 14,300 pasang selipar dan kasut tiruan daripada 12 jenama mewah.

“Kesemua barangan ini dipercayai dibawa masuk ke Malaysia dari luar negara iaitu China melalui jalan laut dengan harga borong serendah RM4 hingga RM5 bagi selipar dan RM20 bagi kasut.

“Kasut dan selipar berkenaan kemudiannya dijual kepada peniaga sekitar RM20 ke RM50 dan dijual kepada pembeli sehingga RM100 sepasang,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, rangkaian sindiket ini juga dipercayai membekalkan barangan tiruan ke seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak serta kawasan sempadan berhampiran.

“Serbuan tersebut juga telah membawa kepada penemuan dua buah ‘ruang pameran’ yang menjadi tempat untuk peniaga melihat sampel produk sebelum membuat tempahan borong.

“Mereka juga sebelum ini telah beroperasi di kawasan Lembah Klang sebelum mula masuk ke Kuala Lumpur sejak dua bulan lalu,” tambahnya.

KPDN turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang juga pekerja berusia awal 20-an dipercayai pengurus stor.

Kes akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) kerana melibatkan sindiket besar serta rangkaian pengedaran yang meluas.

Sabri memberi amaran keras kepada individu atau syarikat yang terlibat dalam penjualan barangan tiruan untuk menghentikan kegiatan itu serta-merta.

“Setakat tahun ini, KPDN WPKL telah menahan 10 orang individu berkaitan kes harta intelek dan menghasilkan 64 kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987, melibatkan rampasan lebih RM1.5 juta.

“Kita tidak akan berkompromi. KPDN akan terus melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang demi menjaga integriti pasaran dan kemakmuran negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast