SHAH ALAM 23 Dis - Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah (dua, kiri) menyampaikan anugerah kepada penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai dan diiktiraf sebagai Penyerang Terbaik pada majlis penyampaian Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2016 malam ini. - fotoBERNAMA

Penyerang kebangsaan Ahmad Hazwan Bakri menamatkan musim ini dengan bergaya selepas membolot dua gelaran pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2016 di sebuah hotel di Subang Jaya dekat sini, malam tadi.

Bekas penyerang Selangor itu, yang sah menyertai juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim depan, dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai.

Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat, yang beraksi bagi pasukan Kelantan, melakar sejarah tersendiri dengan memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik buat kali kelima selepas memenangi anugerah sama dari 2010 sehingga 2013.

Bekas kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim pula memenangi gelaran Pemain Tengah Terbaik untuk kali keempat selepas memenangi anugerah sama pada 2011, 2012 dan 2015.

Dua individu penting yang membantu Kedah menjulang Piala Malaysia musim ini iaitu Muhammad Rizal Ghazali dan Tan Cheng Hoe masing-masing dipilih sebagai Pemain Pertahanan Terbaik dan Jurulatih Terbaik.

Bekas pemain sayap T-Team Muhd Safawi Rasid, yang sah menyertai JDT pada musim depan, pula dipilih sebagai Pemain Muda Harapan.

Pada majlis berkenaan, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang merupakan pentadbir Liga Malaysia, turut memberikan dua anugerah khas kepada individu yang memberi sumbangan kepada bola sepak tanah air.

Pemain Pulau Pinang Mohd Faiz Subri menerima penghargaan khas selepas beliau disenarai pendek antara tiga calon akhir untuk Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) manakala mendiang Ah Wa, yang merupakan peminat fanatik pasukan Liga Super Perak, menerima anugerah penghormatan khas.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali turut menghadiri majlis itu.

Anugerah Bola Sepak Kebangsaan dianjurkan setiap tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan FMLLP bagi mengiktiraf pencapaian pihak yang berkepentingan dalam Liga Malaysia.

Senarai Pemenang:

*Pemain Paling Bernilai: Ahmad Hazwan Bakri (Selangor)

*Penyerang Terbaik: Ahmad Hazwan Bakri (Selangor)

*Penjaga Gol Terbaik: Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)

*Pemain Pertahanan Terbaik: Muhammad Rizal Ghazali (Kedah)

*Pemain Tengah Terbaik: Safiq Rahim (JDT)

*Jurulatih Terbaik: Tan Cheng Hoe (Kedah)

*Anugerah Fair Play – Negeri Sembilan

*Pemain Wanita Terbaik – Dandree Rofinus (MISC-MIFA)

*Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Super) – Fazrul Hazli Mohd Kadri (Perak, 7 gol)

*Penjaring Terbanyak Import (Liga Super) – Jorge Pereyra Diaz (JDT, 18 gol)

*Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Perdana) – Abdul Malik Mat Ariff(Kuantan FA, 10 gol)

*Penjaring Terbanyak Import (Liga Perdana) – Ilija Spasojevic (Melaka United, 24 gol)

*Pasukan Bola Sepak Terbaik – Johor Darul Ta’zim

*Kelab Penyokong Terbaik – Melaka United

*Laman Media Sosial Terbaik – Johor Southern Tigers

*Laman Web Terbaik – Johor Southern Tigers

*Anugerah Komuniti – Subadron Aziz Football Academy dan Kindness Malaysia

*Anugerah Khas Piala Presiden – Kelantan

*Anugerah Khas Piala Belia – Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Bawah 17

*Anugerah Khas Selamat Datang – MISC MIFA dan PKNP FC

*Penghargaan Khas – Mohd Faiz Subri (Anugerah Puskas FIFA)

*Penghormatan Khas – Mendiang Ah Wa

— BERNAMA