SPRM

KUCHING – Enam pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kuching hari ini atas kesalahan menerima rasuah sejak April tahun lalu hingga Januari ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh, Khairul Nizam Omar, 41, Agnes James Daim, 42, Gracy Bohan, 35, Benjamin Morsit, 33, Emily Ngayan Beliang, 36, dan Norhaliza Hussein, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong.

Mereka dituduh menerima rasuah daripada beberapa individu dengan jumlah antara RM100 hingga RM1,000 menerusi transaksi akaun bank sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pendatang asing tanpa izin yang tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit perkerjaan sah.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong menetapkan jaminan antara RM5,000 hingga RM8,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 28 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Asri Abu Mansor, Cathrine Nais dan Ikhwan Mohd Ibrahim. – MalaysiaGazette