Selebriti, Neelofa semasa majlis Pelancaran Koleksi Lady Lofa bersama Neelofa di Black Box Publika, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 7 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara Neelofa adalah antara 300 individu yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017.

Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor yang merupakan pengasas dan pengarah NH Prima International Sdn Bhd, tersenarai di bawah kategori Runcit dan E-dagang.

Usahawan yang berusia 28 tahun itu menjalankan beberapa perniagaan termasuk jenama pakaian wanita Muslimah, Neelofar Hijab.

Senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2017 itu menampilkan 300 penginovasi muda, usahawan dan peneraju yang membawa impak besar kepada dunia hari ini.

Semua individu yang menerima penghargaan itu berusia di bawah 30 tahun dan dipilih oleh para penilai yang juga adalah antara tokoh terkemuka dalam bidang masing-masing.

Selain Runcit dan E-dagang, kategori lain termasuklah Teknologi Pengguna, Teknologi Perusahaan, Hiburan dan Sukan, Seni, Kewangan dan Modal Teroka, Industri, Pembuatan dan Tenaga, Penjagaan Kesihatan dan Sains, Usahawan Sosial dan Media, Pemasaran dan Pengiklanan.

 

Turut termasuk dalam senarai 30 Under 30 Asia itu ialah Kavin Bharti Mittal dari India; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hike Messenger, Josiah Humphrey & Mark McDonald (Australia, Pengasas Bersama Appster), Suboi (Vietnam, artis Hip Hop), Liu Wen (China, Supermodel Antarabangsa), Chenyao Zhou (China, Rakan Kongsi di Longling Capital), Gibran Huzaifah Amsi El Farizy (Indonesia, Pengasas eFishery), Yuki Shimahara (Jepun, Pengasas LPixel Inc), Daroath Phav (Kemboja, Pengarah WaterSHED); Hyungcheol Lim & Goeun Choe (Korea Selatan, Pengasas Bersama Gameberry).

Kriteria pemilihan bagi senarai itu termasuklah kepimpinan dan inovasi dalam bidang mereka, pemikiran keusahawan dan keputusan yang dicapai, serta kemungkinan menukar bidang mereka dalam tempoh separuh abad akan datang.

Menurut Forbes, lebih 1,200 penyertaan diterima, tetapi hanya 300 pemohon memasuki senarai akhir. Bagi mendapatkan senarai lengkap, berita rencana dan video eksklusif, boleh layari laman web www.forbes.com/30-under-30-asia/2017. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan