Home Ekonomi Sasaran capai 300,000 transaksi hartanah

Sasaran capai 300,000 transaksi hartanah

KUALA LUMPUR – Meskipun pasaran hartanah lembap tetapi transaksi masih berlaku, menurut Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah, Nordin Daharom.

“Ini menunjukkan masih ada permintaan untuk hartanah,” katanya pada Sidang Kemuncak Hartanah Malaysia ke-11 2018 (11MPS) di sini hari ini.

Memetik laporan Bernama, Nordin berkata, urus niaga bergantung kepada jenis produk, lokasi yang betul dengan harga yang baik.

Beliau berkata, mengikut data dari Pusat Maklumat Harta Tanah JPPH, jumlah urus niaga bagi sembilan bulan 2017 turun 4.3 peratus kepada 229,529 berbanding 239,916 pada tempoh yang sama sebelum ini.

“Kami menganggarkan terdapat kira-kira 300,000 transaksi hartanah setiap tahun dan pada suku ketiga 2017 lebih daripada 200,000 transaksi direkodkan.

“Terdapat tiga bulan lagi data untuk dilaporkan dan saya percaya jumlah transaksi akan sama dengan 300,000,” kata Nordin.

Beliau berkata, nilai transaksi dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu meningkat 6.7 peratus kepada RM102.29 bilion berbanding RM95.85 bilion pada tempoh yang sama tahun 2016.

Nordin berkata, hartanah Malaysia, terutama di Lembah Klang, masih mendapat permintaan didorong oleh peningkatan pertumbuhan ekonomi, insentif untuk sektor perumahan dan perubahan dasar perumahan positif.

“Kerajaan akan terus memastikan kelangsungan pasaran hartanah tempatan dengan inisiatif yang berterusan meskipun terdapat harapan pasaran yang lembut pada tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette