Izham Hashim
Ahli Dewan Negeri N21 Pandan Indah, Izham Hashim (dua kanan) menyempurnakan acara pelepasan konvoi motosikal berkuasa tinggi pada Majlis Makan Malam Bersama Media dan Pelancaran Anita Borneo Ride Siri Kedua Kembara Kemanusian di Pandan Indah Ampang, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Beberapa perkara inovatif berkaitan masalah jalan berlubang di sekitar Selangor sudah dibincangkan dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk ditambah baik demi keselesaan pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, masalah utama yang dikenalpasti ialah jalan-jalan yang sudah berusia lebih 20 tahun terdapat banyak di negeri ini.

Menurutnya, jalan-jalan itu tidak lagi sesuai untuk digunakan dan langkah membaik pulih segera jalan-jalan itu perlu dilakukan segera.

“Ramai yang tak tahu jalan-jalan ini ada tempoh hayatnya iaitu 15 hingga 20 tahun. Sekarang ini jalan yang kita ada sudah lebih 20 tahun.

“Bila usianya dah lebih kenalah perbaiki jalan itu dan perkara itu sudah semestinya melibatkan banyak kos,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Anita Borneo Rides siri-2, Kembara Kemanusiaan ke Borneo di Kafe Sembang Spontan di Pandan Indah di sini malam ini.

Izham berkata, masalah utama yang dihadapi ialah apabila kontraktor yang disenarai hitam ekoran kegagalan mematuhi standard membina jalan mendapat kembali projek menurap selepas mendaftar semula syarikat atas nama lain.

MGF11072018_Pelancaran Anita Borneo Ride_02

Katanya, beliau telah menegur masalah yang berlaku sejak 10 tahun lalu di dalam mesyuarat kerajaan negeri namun ia masih berlaku.

Jelas beliau, penipuan yang jelas berlaku ialah apabila kontraktor menukar kualiti bitumin yang digunakan hingga akhirnya jalan yang diturap rosak semula.

Selain itu, kontraktor yang melakukan ‘kerja acuh tidak acuh’ juga menjadi salah satu punya masalah jalan berlubang tidak selesai.

“Jalan ni bila basah tak boleh tampal, dia (kontraktor) datang macam tu, yang dia tampal itu pun guna bitumin yang sejuk.

“Tak boleh (guna bitumin sejuk) datang air sekejap saja tanggal. Dia kena yang panas, sebab tu kalau kita lihat dulu mereka (kontraktor) akan panaskan dulu bitumin bagi masak tabur dan bagi kering dan kemudian potong,” ujarnya.

Pada majlis itu Izham melakukan gimik pelepasan 11 penunggang motosikal berkuasa besar daripada beberapa kelab pemotoran yang akan berlepas esok bagi siri jelajah ke Borneo sehingga 19 Julai ini.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Jika benar nak banteras rasuah, buatlah bersungguh2, bukan ambil mudah. Kalau setakat tukar nama syarikat dah boleh lepas dari senarai hitam, kena la fikirkan cara yang lebih ‘stringent’ semasa membuat tapisan.

Comments are closed.