Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Ahmad Wan Yusoff melakukan pemeriksaan baru kemas kini sistem PTPTN selepas sidang media mengenai Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman di Dewan Utama, Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2018
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Ahmad Wan Yusoff melakukan pemeriksaan baru kemas kini sistem PTPTN selepas sidang media mengenai Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman di Dewan Utama, Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menjalankan audit kepada semua peminjam sebelum membuat penangguhan bayaran balik. 

Kata Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, audit dan kelulusan akan diberikan apabila peminjam mengemaskini maklumat pendapatan untuk permohonan penangguhan. 

Selain itu, katanya lagi, peminjam juga perlu mengemaskini maklumat penting yang lain termasuk maklumat perhubungan terkini juga berkenaan pekerjaan. 

“Peminjam diingatkan agar mengemaskini maklumat pendapatan yang sahih dan benar yang boleh dibuktikan dengan dokumen sokongan apabila diminta.

“Audit akan dijalankan oleh PTPTN. Membekalkan maklumat yang tidak benar adalah salah daripada segi undang-undang,”katanya ketika sidang media di Menara PTPTN hari ini.

MGF16072018_SIDANG MEDIA PTPTN09
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan bercakap pada sidang media mengenai Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman di Dewan Utama, Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2018

Menurut Wan Saiful, mana-mana peminjam yang gagal melakukan kemaskini di portal rasmi PTPTN  dianggap tidak berhasrat untuk membuat penangguhan bayaran balik. 

“Sekiranya peminjam tidak mengemaskini maklumat dalam tempoh yang ditetapkan maka PTPTN akan menganggap bahawa mereka tidak berhasrat memohon penangguhan,” tambahnya lagi.

Ditanya mengapa PTPTN tidak menggunakan maklumat peminjam dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Wan Saiful berkata, tidak semua data boleh dikongsi kerana ia tertakluk dengan kerahsiaan.

Namun beliau mengakui ada membuat permohonan dengan Kementerian Kewangan untuk menggunakan data peminjam dari agensi lain kepada  badan itu.

“Saya juga menulis menteri kewangan untuk memohon data di agensi lain boleh dikongsi dengan kita (PTPTN),” katanya.

Peminjam ditetapkan untuk membuat kemaskini maklumat mulai hari ini hingga 25 Julai. 

Terdahulu, PTPTN sebelum ini memaklumkan  telah mengeluarkan 429,945 peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen. -MalaysiaGazette