Akaun bank Wanita MCA telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima wang berjumlah RM300,000 semasa Pilihan Raya 2013.
Akaun bank Wanita MCA telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima wang berjumlah RM300,000 semasa Pilihan Raya 2013.

KUALA LUMPUR – Akaun bank Wanita MCA telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima wang berjumlah RM300,000 semasa Pilihan Raya 2013.

China Press melaporkan, akaun bank sayap parti komponen Barisan Nasional (BN) itu telah dibekukan pada bulan lalu.

Sumber memberitahu, ia berikutan penerimaan masing-masing RM100,000 dan RM200,000 pada Disember 2012 dan separuh penggal pertama 2013 sebagai kos pilihan raya.

“Ia berlaku semasa barisan kepimpinan terdahulu dan mereka mempunyai tanggungjawab untuk memberi penjelasan.

“Tidak akan bermasalah jika mereka dapat membuktikan perbelanjaan dan menunjukkan resit,” kata sumber kepada China Press yang percaya keadaannya “tidak teruk sangat” buat Wanita MCA.

Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie telah memaklumkan kepada pemimpin sayap itu mengenai perkembangan terkini dan mesyuarat tergempar juga akan diadakan.

Bekas Timbalan Ketua Wanita MCA, Datuk Yu Chok Tow enggan mengulas apabila dihubungi wartawan mengenai pembekuan akaun itu. – MalaysiaGazette