PETALING JAYA – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Dr. Azman Hedra memberi jaminan kaedah e-voting yang pertama kali digunakan oleh PKR untuk pengundian bebas daripada ketirisan.

Menafikan pengundian secara elektronik banyak kelemahan, beliau sebaliknya berkata, pengiraan undi secara elektronik lebih tepat berbanding manual.

“Berkenaan e-voting sebenarnya kita tidak perlu takut dengan perkataan itu ia sebenarnya adalah transformasi daripada kita undi dari kertas tapi secara digital sama proses pengundiannya.

“Cuma, dulu pakai kertas undi sekarang digital, dulu kira manual sekarang digital. Manual terdedah dengan kesilapan tetapi digital pengiraannya sangat tepat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Azman berkata demikian ketika ditanya sejauh mana ketelusan e-voting yang digunakan buat julung kali oleh PKR pada pemilihan parti kali ini.

Dalam pada itu, menurut Ketua Sistem dan Data Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Alvin Teoh pula, PKR menggunakan auditor luar untuk memantau e-voting.

“Pemantauan kali ini kita gunakan auditor luar untuk memantau coding proses itu semua, auditor itu kita akan umum mungkin minggu depan,” katanya.

Alvin turut menafikan pembangunan aplikasi e-voting itu mempunyai kaitan dengan Institut Darul Ehsan (IDE) seperti didakwa sesetengah pihak.-MalaysiaGazette