Selepas 44 hari Pilihan Raya Umum ke-14 dilangsungkan, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali bertindak mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional.
Dr. Noor Azmi

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menafikan beliau ada membuat pertemuan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kerusi Parlimen itu.

Katanya, laporan media yang mendakwa beliau akan melepaskan kerusinya bagi membolehkan Anwar bertanding kerusi Parlimen juga tidak pernah dibincangkan.

“Saya tak pernah bertemu dengannya (Anwar). Tak dihubungi oleh sesiapa pun.

“Sehingga hari ini saya ahli parlimen bebas dan fokus saya kepada Bagan Serai,” katanya kepada media di lobi Parlimen.

Beliau mengulas tentang sebuah laporan portal berita yang mendakwa seorang Ahli Parlimen Bebas dari Perak bersedia menawarkan kerusi kepada Anwar.

Noor Azmi berjaya mempertahankan kerusi Bagan Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu, tetapi majoriti 1,140 undi yang diperolehinya pada PRU-13 berkurangan kepada 172 undi dengan pencabar terdekat daripada Pas, Rohaya Bakar.

Anwar sebelum ini didakwa mengintai kerusi yang dimenangi seorang Ahli Parlimen bebas atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU lalu bagi membolehkan beliau kembali ke Parlimen untuk kerusi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lama lagi.

Selain Noor Azmi, seorang lagi Ahli Parlimen Bebas turut didakwa sudi memberikan kerusinya kepada Anwar.

Individu berkenaan adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal juga Ahli Parlimen Bebas di Bukit Gantang. -MalaysiaGazette