KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) mengumumkan pelaksanaan bil elektronik tanpa kertas (e-Bil) kepada semua pelanggan Jalur Lebar dan telefon yang masih belum memilih untuk menerima bil secara elektronik bermula 10 September ini.

Pelaksanaan e-Bil itu sejajar dengan trend industri yang telah berubah kepada gaya hidup digital dan salah satu langkah ke arah masa depan yang lebih hijau dan mesra alam.

TM berkata, menerusi e-Bil, semua pelanggan akan mula menerima versi pdf bil mereka menerusi emel dan Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS).

Dengan pelaksanaan e-Bil secara menyeluruh, pilihan bil bercetak akan dihentikan.

Naib Presiden Eksekutif, Imri Mokhtar berkata, e-Bil urusan menyemak dan membayar bil lebih mudah.

Katanya, pada hari ini, 1.65 juta bil masih dicetak dan dihantar setiap bulan kepada pelanggan jalur lebar dan telefon yang masih belum memilih pilihan bil secara elektronik di seluruh negara.

“Dengan e-Bil, pelanggan akan dimaklumkan bil bulanan mereka dengan lebih pantas, yang mana mereka akan menerima salinan pdf bil bulanan menerusi makluman di e-mel dan SMS yang akan menyatakan nombor akaun, jumlah bil dan tarikh akhir pembayaran dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh bil mereka.

“Pelanggan juga boleh mengakses e-Bil menerusi portal unifi di www.unifi.com.my atau memuat turun aplikasi care@unifi kami di Google Play Store atau Apple iTunes untuk memperolehi dan melihat bil terperinci pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette