Kakitangan Sime Darby Property bergambar bersama-sama 13 anugerah yang dimenangi oleh syarikat itu pada acara tahunan Anugerah Qlassic 2018.

KUALA LUMPUR – Sime Darby Property sekali lagi muncul sebagai pemenang utama di acara tahunan Anugerah QLASSIC 2018 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia.

Pemaju hartanah itu berjaya merangkul 13 anugerah tertinggi pencapaian QLASSIC yang mengiktiraf tahap kualiti pembangunannya.

Sime Darby Property mendapat pengiktirafan tinggi bagi projek-projek di Bukit Jelutong, Elmina East, Bandar Bukit Raja, Saujana Impian, USJ Heights, Bandar Ainsdale, Nilai Impian, Chemara Hills dan Bandar Universiti Pagoh. Projek – projek tersebut terdiri daripada pembangunan kediaman dan komersial.

Sime Darby Property juga merupakan pemaju hartanah yang mendapat anugerah paling banyak di acara tersebut, merangkul 13 daripada 37 anugerah yang dipertandingkan.

Syarikat itu juga menerima empat anugerah khas iaitu tiga anugerah Best QLASSIC Achievement bagi kategori Kediaman dan Bukan Kediaman dan anugerah Best of the Best QLASSIC Achievement.

Ketua Pegawai Operasi bagi Operasi Perbandaran Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri berkata, Sime Darby Property begitu sinonim dengan pembangunan berkualiti dan diperkuatkan melalui penerimaan anugerah tertinggi daripada CIDB Malaysia.

Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) adalah sistem atau kaedah untuk mengukur dan menilai kualiti mutu kerja pembinaan bangunan berdasarkan Standard Industri Pembinaan (CIS 7:2014). QLASSIC membolehkan kualiti kerja antara projek pembinaan dapat dibandingkan secara objektif melalui sistem pemarkahan.

Menurut CIDB Malaysia, penilaian QLASSIC dijalankan melalui pemeriksaan tapak pembinaan dan berdasarkan prinsip pemeriksaan kali pertama.

Kerja-kerja pembetulan yang dijalankan selepas penilaian tidak akan dinilai semula. Objektif prinsip ini adalah untuk menggalakkan kontraktor melakukan kerja yang sempurna pada setiap masa. – MalaysiaGazette