Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mengkaji untuk meminda Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 supaya semua pengasuh termasuk mereka yang hanya menjaga seorang kanak-kanak didaftarkan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mengkaji untuk meminda Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 supaya semua pengasuh termasuk mereka yang hanya menjaga seorang kanak-kanak didaftarkan.

PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mengkaji untuk meminda Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 supaya semua pengasuh termasuk mereka yang hanya menjaga seorang kanak-kanak didaftarkan.

Timbalan menterinya, Hannah Yeoh berkata, undang-undang sedia ada menetapkan hanya pengasuh yang menjaga empat kanak-kanak dan ke atas perlu didaftarkan.

Katanya, kejadian kematian Adam Rayqal mendorong kementerian untuk menetapkan semua pengasuh yang menerima bayaran didaftarkan walaupun jika mereka hanya menjaga seorang dua kanak-kanak.

Hannah berkata, kerajaan berazam mahu mengawal selia pengasuh yang menjaga kurang daripada empat kanak-kanak walaupun mengakui berdepan cabaran untuk berbuat demikian.

“Masalahnya ialah ramai ibu bapa menyerahkan anak mereka untuk dijaga oleh saudara-mara.

“Memang jarang berlaku penderaan jika kanak-kanak dijaga saudara. Namun kalau kita mahu mengawal selia semua pengasuh, maka ‘kategori saudara-mara’ jika tidak harus terkecuali,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau menegaskan bahawa pendaftaran untuk semua pengasuh tanpa mengira jumlah kanak-kanak yang dijaga pasti akan dikuat kuasa pada masa depan.

Menurutnya, sebelum perkara itu diwajibkan, ibu bapa digalakkan melakukan semakan secara kendiri ke atas pengasuh yang menjaga kurang daripada empat kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, “kotak bayi” atau Baby Hatch telah menyelamatkan 39 bayi yang ditinggalkan sejak kemudahan itu diperkenalkan pada 2010.

Sementara itu, sebanyak 32,000 pasangan telah mendapatkan rawatan kesuburan daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dari 1979 hingga 2017. – MalaysiaGazette