Muhammad Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR –  Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menyelar tindakan mantan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengambil dua anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) dan seorang anggota Komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pegawai pengiringnya.

Tindakan beliau itu digambarkan sebagai tidak menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) bukan lagi kerajaan Persekutuan.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Muhammad Faiz Fadzil, apa yang dilakukan oleh Hishammuddin itu dianggap tidak beretika kerana sejak BN tewas pada 9 Mei lalu, beliau tidak lagi menjadi Menteri Pertahanan.

“Beliau seharusnya mengasingkan diri daripada pejabat Menteri Pertahanan dan memutuskan hubungan rasmi dengan mana-mana pegawai serta anggota kementerian termasuk ATM.

“Tindakan Hishammuddin meminta anggota di bawah kementerian termasuk ATM meneruskan kerja dengannya boleh dianggap salahguna kuasa kerana dua anggota itu masih berkhidmat dan dibayar gaji oleh ATM.

“Alasan Hishammuddin mereka telah diminta untuk meletak jawatan serta-merta tidak berasas kerana beliau seharusnya memastikan mana-mana individu yang berkhidmat dengannya tiada apa-apa kaitan tugas dengan kerajaan dan ATM,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Hishammuddin menjelaskan, anggota pasukan khas ATM yang menjadi pegawai pengiringnya hanya berkhidmat untuk sementara waktu sahaja.

Ahli Parlimen Sembrong itu bagaimanapun berkata, beliau telah menawarkan mereka untuk bekerja dengannya jika mereka meletakkan jawatan dalam tentera.

Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, ironinya tiada peruntukan bagi anggota ATM dibenarkan meletakkan jawatan 24 jam kerana tempoh perkhidmatan mereka adalah untuk sesuatu tempoh tertentu.

Ujar beliau, peletakan jawatan anggota ATM adalah tertakluk di bawah Akta Angkatan Tentera 1972, bukannya boleh dibuat sewenang-wenangnya dan sebagai bekas menteri, tidak logik untuk beliau tidak arif berkenaan peraturan itu.

“Sebaliknya, Hishammuddin memberikan alasan bercanggah dengan menyatakan perkhidmatan mereka dengan beliau hanya untuk sementara waktu sahaja, sedangkan mereka masih berkhidmat dengan ATM.

“Tindakan ini jelas bercanggah dengan peraturan sedia ada termasuk Akta Angkatan Tentera 1972.

“Justeru, Pemuda Amanah menyokong penuh tindakan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu supaya suatu siasatan diadakan berhubung perkara ini dan kami menggesa pihak berkuasa turut menyiasat Hishammuddin.

“Siasatan ini penting untuk memastikan bekas menteri Kabinet BN menumpukan tugas mereka sebagai pembangkang serta memastikan semua anggota dan pegawai kerajaan memberikan khidmat penuh dan taat setia kepada kerajaan baharu yang telah dipilih rakyat secara sah dan demokratik,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan