Baru Bian
Projek pelebaran jalan itu diserah kepada Pemaju ParkLand Group untuk dilaksanakan dengan kos sebanyak RM8 juta.

BALAKONG – Masalah kesesakan trafik di sini dijangka selesai dalam tempoh enam bulan selepas projek menaik taraf jalan bermula pada bila-bila masa dalam bulan ini.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, projek pelebaran jalan itu diserah kepada pemaju, ParkLand Group untuk dilaksanakan dengan kos sebanyak RM8 juta.

Katanya, jalan tersebut akan dinaik taraf kepada jalan berkembar empat lorong dengan rekabentuk mengikut piawaian ditetapkan.

“Jalan ini nanti akan dibina dengan dua laluan pergi dan balik tidak seperti yang ada sekarang ini,” katanya pada sidang media selepas melakukan pecah tanah bagi projek pelebaran jalan itu di sini hari ini.

Baru Bian berkata, selain pelebaran jalan sepanjang 800 meter itu banyak lagi projek prasarana lain akan dilakukan termasuk kemudahan infrastruktur.

Dalam pada itu, ketika ditanya wartawan mengapa projek menaik taraf itu dilakukan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Balalong, beliau berkata, pelaksanaan projek itu tidak ada kena mengena dengan kempen Pakatan Harapan.

Katanya, kerajaan baharu hari ini tidak mengambil kira situasi yang berlaku di sesuatu tempat dan akan melaksanakan apa sahaja mengikut keperluan rakyat.

“Jika ada orang yang membangkitkan perkara ini kami tidak bimbang dan kita akan lakukan apa sahaja untuk kebaikan negara kita. Kita akan lakukan pembangunan seperti ini di mana-mana di seluruh negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette