Seorang peniaga menyusun cili dan sayur-sayuran untuk dijual kepada pelanggan semasa tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 JUN 2018
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Presiden Persekutuan Petani-Petani Sayur, Tan Su Tiok menyatakan kebimbangannya kerana kerajaan hanya melarang import cili dari Vietnam baru-baru ini sedangkan cili dari negara itu telah dieksport ke Malaysia lebih daripada lima tahun.

Beliau berkata, berbanding hasil pertanian luar negara, produk tempatan adalah lebih selamat kerana dikawal ketat oleh kerajaan.

Menurutnya, cili import sebaliknya tidak diuji dan disemak secara teliti sehingga membawa kesan yang memudaratkan kesihatan pengguna selain menjelaskan harga pasaran berikutan persaingan “tidak sihat”.

Su Tiok berkata, kerajaan digesa supaya tidak memandang bulu tetapi harus melakukan semakan ketat ke atas cili tempatan dan import supaya tidak wujud pilih kasih.

Beliau berkata demikian kepada China Press susulan keputusan Jabatan Pertanian yang menggantung sementara pengeluaran semua permit import (IP) bagi cili dari Vietnam, berkuat kuasa serta-merta.

Penggantungan itu dibuat hasil daripada pemantauan kadar sisa racun di pintu masuk utama negara yang mendapati lebih 50 peratus sampel cili import dari Vietnam melanggar Tahap Maksimum Residu (MRL) racun perosak.

Mengulas lanjut, Su Tiok berkata, petani cili tempatan berdepan pelbagai masalah seperti perubahan Iklim yang menjejaskan hasil serta kos tenaga manusia termasuk levi pekerja asing yang akan dinaikkan kepada RM10,000 berbanding RM640 seorang pada masa ini untuk sektor pertanian.

Menurutnya, selain itu, kos racun perosak dan baja juga meningkat serta membebankan petani.

“Petani memang tidak gemar menanam cili kerana ia sukar ditanam. Petani cili akan rugi jika hasil tidak memuaskan atau hasil terlalu baik.

“Cili merah tempatan hanya boleh dituai selepas dua bulan dan tempohnya adalah lebih pendek untuk cili hijau. Jika tuaian berlaku pada ketika harga pasaran menjunam, maka petani tidak akan untung banyak, malahan mungkin rugi.” katanya. – MalaysiaGazette