Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menyerbu sebuah pejabat anak syarikat FELCRA Berhad di Setapak, di sini, hari ini dan menyiasat seorang suspek lelaki berusia 53 tahun berhubung kes salah guna kuasa dan penyelewengan.

Dalam serbuan itu, SPRM turut merampas pelbagai dokumen berkaitan kewangan dan pengagihan kontrak latihan yang dianggarkan bernilai RM4 juta.

Serbuan berkenaan dibuat 10 pegawai SPRM pada 9.30 pagi yang dijalankan secara serentak dengan serbuan di sebuah pejabat anak syarikat itu di Kelantan serta 10 buah pejabat syarikat yang menerima kontrak itu di sekitar Pantai Timur, Lembah Klang dan Perak.

Sumber SPRM berkata, serbuan berkenaan bagi membolehkan siasatan dilakukan berhubung dakwaan berlaku salah guna kuasa seorang pengurus kanan di anak syarikat FELCRA Berhad terlibat dengan melantik sekurang-kurangnya 10 syarikat luar yang disyaki ada kepentingan kepada dirinya.

“Suspek berusia 53 tahun itu didakwa melantik syarikat-syarikat luar yang dimiliki oleh anggota keluarga termasuk anak menantu serta kenalannya bagi membekalkan tenaga pengajar, pakar latihan serta kursus yang dikendalikan oleh anak syarikat FELCRA itu,” kata sumber itu.-BERNAMA