Zakaria Arshad
Zakaria Arshad

KUALA LUMPUR – Datuk Zakaria Arshad mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Felda Global Ventures (FGV) Holdings Berhad berkuatkuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan, Zakaria berkata, keputusan itu diambil selepas memikirkan secara mendalam demi kebaikan semua pihak dan masa depan syarikat itu.

“Saya yakin kepimpinan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah FGV mampu memacu kumpulan ke tahap yang lebih baik dan mampu menyelesaikan pelbagai isu legasi yang sedang dihadapi ketika ini.

“Saya mendoakan perancangan lembaga untuk memulihkan kembali kumpulan akan mencapai matlamat dengan jayanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut berterima kasih kepada pengerusi serta ahli lembaga pengarah FGV di atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan kepadanya selama ini.

Zakaria turut memohon maaf kepada semua pihak di atas segala kesalahan sepanjang tempoh beliau menerajui kumpulan FGV. – MalaysiaGazette