Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah pada sidang media khas pemeriksaan bedah siasat ke atas lelaki Korea Utara yang dipercayai Kim Jong Nam yang terbunuh di KLIA2 baru-baru ini. foto SAFWAN MANSOR, 21 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mendapati terdapat beberapa syarikat mengambil kesempatan menjual produk dengan tuntutan perubatan meragukan yang boleh mengelirukan orang ramai.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia juga memberi persepsi salah yang akan mengakibatkan orang awam mengabaikan prinsip asas pencegahan penyakit berjangkit iaitu kebersihan diri dan persekitaran selain tindakan pencegahan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Produk-produk seperti ini tidak mempunyai bukti yang kukuh bagi menyokong bahawa ia berkesan dalam mencegah jangkitan.

“Sebarang produk yang mempunyai bukti tuntutan perubatan untuk merawat dan mencegah penyakit perlu dinilai dan seterusnya didaftarkan dengan pihak berkuasa KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, ujar Noor Hisham, syarikat yang melabelkan produk mereka dengan dakwaan boleh merawat dan mencegah penyakit seperti anti-penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), anti-kanser, dan sebagainya dinasihatkan menghentikan amalan yang tidak beretika itu.

“Pihak yang berkenaan sepatutnya menggunakan tuntutan umum yang bersesuaian di label produk.

“Kementerian Kesihatan ingin menggesa orang awam agar tidak mudah percaya dengan tuntutan perubatan yang dibuat pada sebarang produk yang meragukan.

“Dalam usaha KKM melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam melalui pemantauan berterusan produk-produk seumpamanya di pasaran, orang ramai juga diminta membantu dengan mengemukakan aduan dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitannya melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan