Atlet lompat kijang Amerika Syarikat, Will Claye.

LONDON – Pemenang tiga pingat Olimpik, Will Claye kini boleh menarik nafas lega apabila dibebaskan daripada salah laku doping selepas ujian positif yang terdapat dalam daging tercemar yang dimakannya di Mexico.

Agensi Anti Doping Amerika Syarikat (USADA) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya membuat keputusan selepas mendapati tidak mungkin kehadiran clenbuterol dalam sampel atlet yang dihasilkan daripada sumber selain daging.

“Ujian doping positif itu dikesan mengandungi bahan larangan clenbuterol dan ia digunakan oleh pengeluar makanan kepada haiwan dan mampu menghasilkan sampel positif kepada atlet yang memakan makanan tersebut.

“Dalam tempoh siasatan sampel positif itu, USADA menilai semula daripada pelbagai aspek iaitu tabiat pemakanan, lokasi atlet itu berada dan laporan makmal menunjukkan jumlah bahan larangan dalam sampel air kencing atlet itu,” katanya kenyataan itu.

Keputusan USADA membolehkan Claye terlepas daripada sebarang tindakan.

Atlet Amerika Syarikat berusia 27 tahun itu berjaya memenangi pingat perak dalam acara lompat kijang ketika penampilannya di dua Olimpik sebelum ini serta memenangi gangsa dalam acara lompat jauh di temasya sama pada tahun 2012. – MalaysiaGazette