Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia
Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) kecewa apabila Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang sedang bersidang ketika ini langsung tidak menjadikan isu menyelamatkan Utusan Melayu (M) Berhad sebagai agenda utama parti itu.

Sehubungan itu, Persidangan Perwakilan Dwi-Tahunan (BDC) NUJ Semenanjung Malaysia mendesak campur tangan pemegang saham lain untuk menyelamatkan Utusan daripada berkubur selepas UMNO gagal menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi syarikat itu.

Utusan adalah akhbar berbahasa Melayu paling bersejarah kepada negara dan orang Melayu.

Setiausaha Agung NUJ, Chin Sung Chew mendakwa, sejak UMNO meletakkan Datuk Aziz Sheikh Fadzir sebagai Pengerusi Eksekutif, keadaan Utusan semakin bertambah teruk.

Kakitangan lewat menerima gaji bulanan dan terpaksa menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang tidak adil kepada pekerja-pekerjanya baru baru ini.

Malah, katanya, UMNO sendiri tidak serius untuk memulihkan Utusan dan membela nasib pekerja yang bernaung di bawahnya walaupun pelbagai desakan dilontarkan kepada parti tersebut.

Lantaran itu, NUJ mendesak Setiausaha syarikat supaya memanggil persidangan tergempar dalam kalangan pemegang saham untuk menentukanhala tuju Utusan sebelum terlambat. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan