Dr Mahathir Mohamad ketika berucap mengenao “Masa Depan Demokrasi di Asia” di Chatham House . foto Bernama

LONDON – Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau masih seperti dahulu dan caranya bekerja adalah mengikut gaya beliau seperti sebelum ini.

Ketika ditanya oleh hadirin dalam syarahannya mengenai “Masa Depan Demokrasi di Asia” di Chatham House di sini berhubung kenyataan Peguam Negara Tommy Thomas mengenai dirinya dalam satu wawancara bahawa beliau telah berubah, Dr Mahathir berkata, kenyataan Thomas ada benar dan ada ada silapnya.

“Saya masih seperti dahulu,” kata beliau.

“Saya masih menjalankan urusan seperti biasa tetapi saya perlu menghormati kehendak orang lain, dan terutama berhubung dengan apa yang mereka sebut sebagai kronisme,” kata beliau.

Dr Mahathir menjelaskan, beliau sebenarnya membantu mereka yang berupaya memperoleh keuntungan daripada apa sahaja perniagaan yang mereka usahakan.

“Jika anda meminta seseorang yang tidak berpengetahuan dalam perniagaan dan memintanya menjalankan perniagaan yang dia tidak mempunyai pengetahuan dalam perniagaan, maka anda mengundang kegagalan. Jadi, apabila anda memberikan kontrak – hari ini, kita harus melakukannya melalui tender. Sebelum itu, tender adalah terbatas. Sekarang melalui tender penuh, semua orang boleh membuat bidaan,” kata beliau.

Mengenai hubungan beliau dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata, beliau akan menyerahkan kepimpinan Perdana Menteri kepada Anwar apabila beliau akan bersara dalam masa dua hingga tiga tahun.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan beliau,” kata Dr Mahathir.

Menjawab soalan mengenai 1MDB, perdana menteri berkata keutamaan sekarang ialah bagi kes-kes yang bukti-buktinya telahpun diperoleh.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, wang yang dilesapkan daripada 1MDB digunakan untuk membeli hartanah dan menghasilkan filem, kata beliau.

“Wang yang diselewengkan adalah wang kami. Kami mempunyai hak untuk mendapatkannya balik. Kami akan berunding dengan Amerika Syarikat,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata, isu 1MDB akan ditangani “satu demi satu” dan pada masa ini, ia melibatkan penyalahgunaan kuasa oleh bekas Perdana Menteri.

Mengenai persoalan berhubung negara-negara yang terlibat dalam 1MDB, beliau berkata, “Ada orang yang melanggar undang-undang di negara kami. Kadang-kadang, mereka melarikan diri ke negara lain, Kami melakukan yang terbaik untuk berunding. Kami tidak boleh berperang.” – MalaysiaGazette