Tiada sidang media khas akan dibuat bagi mengumumkan keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.
Tiada sidang media khas akan dibuat bagi mengumumkan keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

KUALA LUMPUR – Tiada sidang media khas akan dibuat bagi mengumumkan keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Beliau berkata keputusan bagi kedua-dua peperiksaan itu bukan kayu pengukur bagi menilai prestasi pelajar secara keseluruhan sebaliknya ia hanya untuk penilaian dalaman di peringkat sekolah.

“Kementerian Pendidikan mengambil berat mengenai tekanan yang dihadapi oleh pelajar berhubung keputusan peperiksaan. Oleh itu, untuk keputusan UPSR tahun ini kita memang sudah membuat keputusan bahawa kita tidak akan mengadakan sidang media untuk menguar-uarkan keputusan peperiksaan itu.

“PT3 juga sama. Kita harap pelajar memandang perkara ini sebagai satu penilaian untuk membantu ibu bapa dan guru bagj mengetahui tahap prestasi pelajaran mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia 2018 dan Sumbangan Susu Sekolah kepada Murid-murid Sekolah Rendah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Teo berkata perkara itu turut mengambil kira tekanan yang dihadapi pelajar yang menduduki peperiksaan serta menegaskan kaunseling sekolah perlu fokus dalam memainkan peranan mereka untuk membantu pelajar.

Dalam perkembangan lain, Teo berkata pihaknya sedang menunggu laporan hasil siasatan daripada pihak polis mengenai berita seorang calon PT3 di Pulau Pinang yang ditemui mati.

“Kita tidak menafikan salah satu punca adalah peperiksaan sekolah tetapi laporan juga perlu untuk kita mengetahui cara untuk menambah baik prosedur atau suasana untuk membantu pelajar,” jelasnya.

Mengenai majlis hari ini, Teo berkata Dutch Lady Malaysia akan membekalkan susu kepada 40 buah sekolah bagi kira-kira 3,000 murid yang tinggal di PPR di sekitar Kuala Lumpur selama tiga tahun serta melihat hasil perkembangan kesihatan murid berkenaan.

Katanya, berdasarkan laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pada Feb lepas, 22 peratus kanak-kanak bawah umur lima tahun yang tinggal di flat kos rendah mengalami pertumbuhan yang terbantut, 15 peratus kekurangan berat badan dan 23 peratus obesiti.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan