Dr Maszlee Malik
Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPURĀ – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak hanya melahirkan golongan ustaz, tahfiz dan lebai semata-mata.

Beliau berkata, persepsi negatif itu perlu diperbetulkan kerana universiti awam itu turut melahirkan ramai tenaga pakar dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, perundangan dan politik.

“Ramai tak faham, ramai anggap UIAM ini hanya melahirkan ustaz, tahfiz dan lebai semata-mata, ini tidak benar.

“UIA kita ada Fakulti Perubatan, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Undang-Undang dan ramai anak murid saya bukan Islam dan mereka tidak dipaksa untuk masuk Islam.

“Ramai dalam kalangan mereka menjadi ahli politik malah dalam DAP sendiri pun berkelulusan dari UIAM,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Peningkatan Standard Bahasa Melayu SJKC di HGH Convention Centre, di sini.

MGF02102018_FORUM PENINGKATAN STANDARD BAHASA MELAYU SJKC15
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menerima cenderamata daripada Pengerusi Jawatankuasa Induk Peningkatan Standard Bahasa Melayu SJKC, Datuk Eddie Heng (kanan) sambil diiringi Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (kiri) pada Majlis Perasmian Forum Peningkatan Standard Bahasa Melayu SJKC 2018 di HGH Convention Centre, Sentul, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 OKTOBER 2018

Maszlee juga berkata, bagi tujuan memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar bukan Melayu, guru dan pelajar SKJC digalakkan membuat lawatan ke UIAM.

“Penting mereka masuk ke UIAM untuk melihat kepelbagaian bangsa, di sana terdapat lebih daripada 100 bangsa dari pelbagai negara.

“Di Malaysia kita ada Melayu, Cina, India, Murut, Kadazan, Dusun dan sebagainya tapi di UIAM ada orang Arab, Pakistan, Maldiv, Afrika, Eropah, Bosnia, UK dan pelbagai lagi.

“Ini akan membuka minda dan horizon pemikiran anak-anak kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan