Pelakon, Janna Nick turut membuat persembahan pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 13 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Selepas menerima pelbagai respon positif dan negatif ekoran tawaran khidmat ucapan ulang tahun dengan caj sebanyak RM50 yang dibuat Janna Nick, pelakon wanita itu akhirnya mendedahkan niat di sebalik tindakannya itu.

Katanya, khidmat itu dibuatnya sebagai medium untuk menyalurkan derma kepada golongan memerlukan seperti anak yatim, gelandangan dan rumah kebajikan.

Jelasnya, wang yang diterimanya untuk membuat ucapan akan disalurkan kepada tabung pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Wish for Their Hope (WFTH) sebelum diagihkan kepada rumah kebajikan, anak yatim dan gelandangan.

“Idea merealisasikan WFTH dan #wishservicebyjannanick yang membawa misi membantu insan memerlukan diilhamkan sejak empat bulan lalu. Syukur hingga ini, khidmat itu sudah mengumpul kira-kira RM2,000 sejak diperkenalkan.

“Sejak awal tahun lagi, saya sudah berniat untuk tidak memberi reaksi terhadap komen negatif, selain berazam memberi semula kepada masyarakat menerusi kerja kebajikan. Usaha ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

“Kunjungan di dua rumah kebajikan pada hari ini menjadi permulaan untuk aktiviti yang diharap dapat diadakan sebulan sekali. Insya-Allah, pada 14 Oktober ini, WFTH bakal mengunjungi gelandangan di sekitar ibu negara,” katanya.

Janna berkata demnikian selepas penyerahan sumbangan di Rumah Kasih Nurul Hasanah.

Sebelum ini, banyak pihak mempersoalkan kewajaran tindakan Janna, pada masa sama, ramai mengandaikan pelakon itu merancang sesuatu selepas membuka akaun rasmi, @wishservicebyjannanick.

Mengulas lanjut Janna berkata, dia akan meneruskan khidmat tersebut atas niat untuk beramal walaupun menerima pelbagai respon daripada netizen.

“Jika ada pihak yang menganggap usaha ini sebagai gimik, saya terima sahaja. Jika baik niatnya, kita anggap sahaja gimik ini ‘menjadi’. Sebelum ini, saya pernah berkongsi status di Instagram untuk membantu pihak memerlukan.

“Namun, maklum balasnya tidak serancak ini. Jadi, sambil memberikan ucapan hari istimewa, kita juga menderma. Alhamdulillah, usaha ini mendapat sokongan rakan artis seperti Mawar Rashid dan Sharifah Sakinah yang membantunya tular menerusi parodi mereka.

“Kalau usaha begini memberi inspirasi kepada selebriti lain untuk membantu, kenapa tidak? Saya juga difahamkan ramai menggunakan idea ini bagi menjana pendapatan seperti menghasilkan lagu iklan dan menjual lukisan. Tidak mengapa, itu rezeki mereka,” katanya. – MalaysiaGazette