Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

PORT DICKSON – Pakatan Harapan akan memastikan tidak ada unsur serangan peribadi digunakan oleh pemimpin parti itu ketika turun berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ini.

Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya komited dalam menasihati para pemimpin mereka tidak menyerang secara peribadi calon-calon lain yang bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

“PH akan memastikan semua yang berkempen di sebelah PH akan diberikan peringatan
supaya mematuhi tata etika.

“Ia bukan sekadar serangan peribadi dan juga mengelak menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

“Anwar sebagai calon sudah menjanjikan pada permulaan kempen bahawa beliau tidak akan sesekali menggunakan jentera kerajaan dan akan memastikan janji calon PH kami ditepai dipihak parti sendiri,” katanya dalam sidang media kempen harian di sini.

Turut hadir penyandang kerusi Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Zulkelfly Mohamad Omar ketika berucap dalam ceramah di Kampung Pachitan kelmarin didakwa menyalahkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berhubung penularan wabak Japanese Encephalitis (JE) pada awal 2000 di negeri itu.

Malah Pengerusi Amanah negeri itu juga membidas Isa berhubung masalah yang menyelubungi FELDA.

Dalam pada itu Fahmi turut meminta pengundi berhati hati dengan penularan serangan peribadi atau fitnah yang tersebar di media sosial terhadap Anwar.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan