Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
Tan Sri Zeti Akhtar Aziz. foto: AFFAN FAUZI, 27 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2018 atas peranan penting beliau mewujudkan struktur organisasi dan prosedur hebat dalam bidang perbankan di negara ini.

Zeti menerima anugerah paling berprestij sebentar tadi daripada Sultan Nazrin Muizziddin Shah, Sultan Perak dan Penaung Diraja untuk inisiatif Kewangan Islam Malaysia.

Pengerusi Panel Juri Anugerah Diraja Kewangan Islam, Tun Musa Hitam berkata, anugerah ini sebenarnya bukan kali pertama pernah dinobatkan kepada Zeti sebaliknya beberapa tahun sebelum ini.

Bagaimanapun, Zeti yang ketika itu masih lagi memegang jawatan sebagai Gabenor BNM enggan menerima pengiktirafan tersebut sebaliknya menasihati panel juri untuk mencalonkan nama pimpinan lain kerana ‘konflik berkepentingan’.

“Walaupun Zeti sebenarnya sangat layak dan sememangnya induvidu paling layak untuk menerima anugerah itu namun beliau telah ‘menasihati’ saya dan menolaknya dengan cara yang paling baik.

“Kepimpinan beliau yang cemerlang dalam bidang kewangan Islam telah memacu ia ke tahap yang lebih tinggi dalam arena kewangan domestik dan global. Sememangnya beliau layak untuk diberikan anugerah berprestij ini.

“Para juri juga telah menjalankan proses pemilihan yang sangat ketat dan rapi berdasarkan merit serta pencapaian setiap calon sebelum memuktamadkan keputusan.

“Zeti mendapat pengiktirafan meluas kerana peranan yang telah dimainkan dan masih dimainkan olehnya dalam membawa kemajuan Islam secara global. Sumbangan, dedikasi dan kepimpinan beliau dalam pembangunan indistri kewangan Islam menjadi inspirasi generasi akan datang,” katanya.

Ketika ditemui, Zeti yang kini merupakan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB) melahirkan rasa syukur dan berterima kasih dengan penghormatan tertinggi yang telah diberikan kepadanya.

“Namun saya perlu katakan di sini, pencapaian ini hanya menjadi kenyataan kerana orang-orang di sekeliling saya yang bekerja bersama-sama dengan saya. Mereka perlu turut diberi pengiktirafan ini. Ini juga untuk mereka, jasa semua pihak.

“Industri kewangan Islam telah mencatat pertumbuhan dan perkembangan yang belum pernah dicapai dalam tempoh tiga dekad kebelakangan ini. Industri ini merupakan yang dinamik serta berkembang untuk memenuhi keperluan ekonomi moden yang pantas berubah.

“Bagi meneruskan usaha ini kini kita perlu menceburi pula bidang baharu untuk memberikan nilai yang lebih besar kepada ekonomi, masyarakat serta alam sekitar,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan