PORT DICKSON – Calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar berkata, beliau pernah bertemu dengan pesaingnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan halatuju bekas tentera di sini.

Menurutnya, beliau pernah berkunjung ke rumah Anwar di Segambut sebelum ini bagi mengadakan perbincangan itu secara empat mata dengan dibantu oleh seorang individu.

“Saya sendiri pernah dijemput oleh individu yang bakal PM, saya dibawa ke rumah beliau.

“Saya pergi di rumahnya di Segambut, tapi sekarang dia buat atau tidak (cadangan kepada bekas tentera),” katanya dalam siri kempen di Taman Intan Perdana, Port Dickson semalam.

Malah semasa Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu masih bersama Pas, beliau sering dibawa mengelilingi Malaysia bagi mengumpul maklumat dan maklum balas mengenai cadangan tersebut.

“Kenapa Menteri Pertahanan sekarang (Mohamad Sabu) begitu gembira saya ada di sini. Kerana saya membawa isu veteran dan bila kita bawa isu ini mereka suka.

“Mereka ini akan undi wakil rakyat sebab itulah saya diusung ke sana sini oleh Menteri Pertahanan yang ada sekarang ini dan kita pusing Malaysia,” katanya.

“Apa menteri pertahanan buat. Saya sudah bercerita pada dia lama sudah berkenan perintah Majlis Angkatan Tentera ini. Dia kata nak cari tanah.

“Saya nak bagi tahu bekas tentera di Negeri Sembilan, berapa tanah yang boleh digunakan. Bayangkan Felda Palong yang mempunyai banyak tanah di mana Palong 17 hingga 22 tidak diisi lagi dan dijadikan ladang oleh Felda,” katanya lagi.

Isu mengenai bekas tentera sering menjadi ‘senjata’ berkempen di PRK Port Dickson sama ada di pihak Pakatan Harapan (PH) mahupun Pas.

Antaranya, peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membaiki kerosakan rumah dan prasarana yang perlu bagi Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ada pihak yang mendakwa pemberian itu adalah ‘gula-gula politik’ yang kini diamalkan oleh PH. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan