Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengesahkan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei telah didiagnosis menghidap barah hidung peringkat awal.
Datuk Lee Chong Wei.

KUALA LUMPUR – Beberapa agensi media antarabangsa melaporkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dijangka pulang ke tanah air Ahad ini.

Berita Chong Wei menjadi antara tajuk utama akhbar di China, Taiwan dan Hong Kong apabila pemain berusia 36 tahun itu  dikatakan telah selesai menjalani rawatan kanser hidung tahap awal di Taiwan.

Laporan China Daily turut mengesahkan bekas pemain nombor satu dunia itu sudah pulih sepenuhnya dengan tajuk akhbar ‘Sel kanser Chong Wei berjaya dimatikan’.

Berita tersebut menjadi popular kebanyakan agensi di China, Hong Kong dan Taiwan.

China Daily mendedahkan Chong Wei yang disahkan menghidap kanser nasopharyngeal, pulih sepenuhnya selepas dua bulan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Taiwan.

Jelas laporan akhbar itu lagi, beliau sepatutnya pulang ke Malaysia pada akhir bulan lalu, tetapi atas nasihat doktor Chong Wei hanya akan pulang pada Ahad ini.

“Rawatan Lee Chong Wei sudah berakhir, dan kesannya agak baik. Sel kanser itu sudah hilang.

“Selepas benar-benar pulih dan mendapat rehat secukupnya di Taiwan, beliau dibenarkan pulang pada 7 Oktober ini dengan menaiki jet peribadi dan pulang ke keluarga untuk bersama keluarganya,” lapor China Daily.

Berita China Daily ini mendapat 30,000 pelayar dan dikongsi oleh beberapa agensi tempatan lain. – MalaysiaGazette