Ubat-ubatan dari India yang dirampas oleh KKM.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan telah merampas lebih 350 botol kecil vaksin dan 1,400 biji tablet Misoprostol tidak berdaftar dari negara India yang dijual dalam pasaran gelap kepada klinik-klinik perubatan swasta.

Rampasan itu masing-masing membabitkan RM28,000 dan RM63,000.

Produk yang dirampas ialah Bio Typh Typhoid Polysaccharide Vaccine, Tetanus Vaccine dan Cytolog Misoprostol Tablet.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tablet Misoprostol itu disyaki digunakan untuk tujuan pengguguran haram.

Menurutnya, penjualan produk- produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Produk vaksin dan ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual hanya boleh dibekalkan untuk tujuan rawatan pesakit oleh pengamal perubatan berdaftar atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi yang sah.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan produk-produk kesihatan yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang berkuatkuasa.

Produk berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL dan label Hologram Meditag pada pembungkusannya. Pengguna boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dengan melayari http://www.npra.moh.gov.my / ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan