Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menuntut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi penjelasan berhubung lebih 4,000 projek mega mesra rakyat yang dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, projek yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) itu sangat memberikan faedah langsung kepada rakyat, khusunya di kawasan luar bandar.

Katanya, Pas telah menunggu penjelasan selama empat hari dari Guan Eng, tetapi belum ada sebarang jawapan.

“Sebenarnya untuk pengetahuan umum, lebih 4,000 projek tersebut adalah projek khas yang melibatkan peruntukan dana dari kerajaan Persekutuan serta diseliakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

“Hanya terdapat beberapa projek sahaja yang diberikan kepada Pejabat Daerah sebagai pelaksana, tapi masih lagi tertakluk kepada kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Nasrudin berkata, selain 4,000 projek yang dimansuhkan itu, Menteri Kewangan juga harus menjelaskan satu lagi dakwaan mengenai tuntutan pembayaran projek yang masih tidak dilunaskan kepada kontraktor Bumiputera berjumlah puluhan juta ringgit.

Jelas beliau, berdasarkan maklumat yang diterima, dalam minggu ini juga, pihak persatuan kontraktor telah menghantar satu surat tuntutan pembayaran segera kepada pihak ICU.

“Semua pembayaran kepada kontraktor Bumiputera tersebut dikatakan telah disekat oleh Menteri Kewangan.

“Oleh itu, Pas menuntut dua isu utama ini dijelaskan dengan segera dan penuh tanggungjawab oleh Gua Eng,” katanya. – MalaysiaGazette