Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan bercakap pada sidang media mengenai Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman di Dewan Utama, Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2018
Wan Saiful Wan Jan

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan memberi sumbangan kepada keluarga enam anggota Bomba dan Penyelamat  yang meninggal dunia ketika bertugas baru-baru ini. 

Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata, semua anak-anak anggota bomba yang terkorban juga dijamin akan dibantu menerusi pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). 

“Kita akan memberi sedikit sumbangan  kepada anak anggota bomba berkenaan dan jumlahnya akan ditentukan selepas berjumpa ahli keluarga,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Minggu Menabung di sebuah pusat kompleks di sini hari ini. 

Wan Saiful akan mengarahkan pegawai PTPTN mengadakan pertemuan dengan waris keenam-enam anggota bomba tersebut sebelum menentukan jumlah sumbangan yang bakal diberikan. 

“Jumlah yang kita berikan adalah mengikut kemampuan dan belum ditentukan, saya minta pegawai-pegawai PTPTN untuk berjumpa dengan waris-waris dan selepas itu barulah kita tentukan sumbangannya,” katanya lagi. 

Beliau terdahulu mengucapkan takziah kepada keluarga anggota bomba yang terkorban akibat lemas dua hari yang lalu selepas terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki,  Mohd Ilham Fahmi Mohd Azzam, 17, di lombong Taman Putra Perdana, Puchong.

Enam anggota bomba yang terkorban ialah Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, Yahya Ali, 24, Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan