KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menyediakan satu pelan perancangan awal bagi memudahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berisiko kemalangan.

Ketua Pengarahnya, Mohamad Hamdan Wahid berkata pelan itu membabitkan perbincangan dan pengumpulan maklumat daripada pihak berkuasa tempatan mengenai kawasan yang dikenalpasti berisiko kemalangan seperti di kawasan rekreaksi, aliran air dan jeram sekaligus memahami risiko bahaya kawasan itu.

“Respon anggota dalam operasi SAR berdasarkan kecepatan dan ketangkasan di tempat kejadian dan sekiranya menunggu ia akan menjejaskan peluang mangsa diselamatkan.

“Menerusi kerjasama ini, kita dapat merancang pelan awal sebelum menjalankan operasi kerana reka bentuk atau struktur kawasan itu sudah ada dalam sistem data kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas arahan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mengenai penambahan maklumat pelan struktur lokasi daripada pihak berkuasa tempatan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa mengendalikan operasi SAR.

Hamdan berkata, 296 balai bomba dan penyelamat di seluruh negara sentiasa menjalankan kajian di kawasan masing-masing bagi mengenalpasti dan memahami keadaan sekeliling sekiranya berlaku kecemasan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, penilaian kita adalah berdasarkan maklumat daripada anggota yang berpengalaman, maklumat orang awam dan tanda topografi (bentuk dan ciri permukaan kawasan) yang ada di kawasan itu,” katanya.

Beliau menambah pihak berkuasa tempatan juga perlu menempatkan papan tanda topografi di kawasan berisiko kemalangan bagi memudahkan anggotanya dan orang awam memahami keadaan di kawasan itu.

Dalam perkembangan lain, JBPM masih menjalankan siasatan susulan enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terkorban dalam tragedi di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong Rabu lepas.

Dalam kejadian pukul 9.15 malam itu, enam penyelam berkenaan dilaporkan baru sahaja lima minit berada dalam air bagi menjejaki seorang remaja berusia 17 tahun yang dilaporkan terjatuh dalam kolam lombong itu pukul 5.00 petang hari sama (Rabu).

Bagaimanapun, secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit tali yang mengikat satu sama lain menyebabkan kesemua mangsa lemas. Mayat remaja yang lemas itu juga ditemui pada keesokannya (Khamis).- Bernama