Najib Tun Razak
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempersoalkan tentang beberapa kepincangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk isu pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol.

Najib menyindir PH kerana gagal menunaikan janji manifesto mereka untuk menghapuskan kutipan tol di seluruh negara sebaliknya ‘tamak’ kuasa dan rakyat menjadi mangsa.

“Dulu sebelum jadi kerajaan, janji hapus tol malah siap kata kerajaan cuma perlu berapa ringgit je untuk buat sedemikian.

“Putar belit setiap hari padahal dia yang beri konsesi berat sebelah. Tapi Kerajaan BN dan saya Najib Razak yang dipersalahkan, walhal hampir setiap tahun saya umum hapus tol di beberapa kawasan,” katanya.

Tambah Najib, setelah PH menjadi kerajaan baru mereka sedar adalah mustahil membina lebuhraya tanpa mengenakan tol.

“Bukan main memekik Puchong dan Simpang Renggam sampai buat video dan poster berjuta-juta orang like dan tonton. Hari ini, apa cerita?

“Inilah yang berlaku bila berjanji bukan ikhlas untuk rakyat tapi semata-mata tamakkan kuasa,” katanya dalam Facebook yang turut dilihat, diulas serta dikongsi oleh ribuan netizen sebentar tadi.

Najib mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini yang mengakui pihaknya membuat janji manifesto berhubung tol dengan sangkaan kerajaan PH tidak akan menang.

Malah Mahathir mengakui, dari awal lagi beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya PH.

“Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Sekarang kami adalah kerajaan dan manifesto ini menjadi beban yang besar.

“Pada masa itu saya menentang, saya tahu, untuk mengadakan laluan percuma…ia tidak boleh (dilakukan). Satu-satunya cara untuk mengadakan laluan percuma dan tiada tol adalah dengan menaikkan harga petrol,” katanya kepada Bernama dan RTM pada akhir Perhimpunan Pemimpin-pemimpin ASEAN. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan