SHAH ALAM – Dalam tempoh lima bulan pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan masyarakatnya berada dalam keadaan serba tidak kena.

Ketua UMNO Bahagian, Datuk Azhari Shaari berkata, apa yang berlaku dalam tempoh itu, ekonomi negara semakin merudum, kejatuhan nilai ringgit berada dalam keadaan amat mendukacitakan.

“Bagi rakyat yang berniaga mahupun yang melancong ke luar negara, tentunya akan terasa bahana kepada ekonomi yang teruk ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Jelasnya, rakyat sedang menerima ‘janji’ di luar manifesto PH yang dianggap jauh daripada impian digambarkan.

Kata Azhari, tidak salah pun ada segelintir rakyat menganggap Malaysia baharu pasca PRU 14 adalah lebih baik.

“Namun, setakat lima bulan pertama ini segalanya dilihat serba tidak kena.

“Bagi petani dan peladang, mereka menghadapi kejatuhan harga sawit, getah hinggakan penanam cili merah tempatan pun terpaksa bersaing dengan cili import.

“Ini semua masalah makro di dalam negara. Dalam konteks ekonomi mikro pula, baru-baru ini di Seksyen 20, Shah Alam beberapa gerai di tepi jalan milik peniaga tempatan dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Katanya, adakah wajar di saat ekonomi sedang merosot, rakyat yang mencari nafkah dengan berniaga kecil-kecilan dihalang berniaga, sedangkan mereka mempunyai keluarga untuk diberi makan.

Sepatutnya menurut beliau, selepas kerajaan Persekutuan yang baharu memerintah, rakyat lebih mudah untuk berniaga dan mencari rezeki, tetapi berlaku sebaliknya.

“Syarikat besar dibatalkan kontrak mereka. Pekerja yang bekerja dengan agensi kerajaan Persekutuan terdahulu ditamatkan perkhidmatan seperti kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

“Jika bekerja dengan kerajaan pun ditamatkan perkhidmatan, berniaga gerai tepi jalan pula dirobohkan, ke mana haluan rakyat hendak mengadu.

“Puluhan ribu yang bakal menganggur dicampur dengan lepasan universiti yang sedang mencari kerja akan mewujudkan krisis sosial yang bakal meletup bila-bila masa,” katanya.

Kata Azhari, keluhan rakyat dalam kalangan netizen kedengaran mengharukan dan mereka menganggap pertukaran kerajaan sebagai simbolik demokrasi bersuara lantang kini menjadi suara sayu mendoakan dipulangkan nikmat sebagaimana di zaman Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO.

Keluhan itu, katanya, bukan sahaja dirasakan rakyat marhaen, tetapi golongan menengah yang bekerja sebagai jurutera projek, pembekal dan kontraktor bagi projek mega yang ditender semula.

“UMNO Bahagian Shah Alam berharap masalah ekonomi merosot ini tidak menjadi punca kepada krisis sosio-ekonomi yang lebih mega.

“Usahakan agar ekonomi negara kembali ke landasan sebenar kerana ia perkara yang lebih besar dan penting saat ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan