Calon bebas, Tan Sri Mohd Isa Samad (tengah) bersama anak-anaknya, Mohd Najib (kiri), Lelawati (dua kiri), Juhaida (dua kanan) dan Megawati (kanan) menunjukkan jari yang berdakwat selepas membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Tan Sri Isa Samad tiba di Pusat Pengundi di Sekolah Kebangsaan Linggi tepat jam 11.15 pagi.

Isa yang berbaju batik berwarna putih dilihat terus ke kaunter semakan undi dan memasuki saluran satu untuk mengundi.

Isa adalah satu-satunya calon PRK Port Dickson yang mengundi hari ini kerana enam lagi calon bukan pengundi Port Dickson.

Sebelum meninggalkan SK Linggi, Isa turut beramah mesra dengan pengundi di pintu masuk pusat mengundi.

Beliau ditemani empat anak-anak iaitu Mohamad Najib Mohd Isa, 40, Megawati, 37, Juhaida, 29, dan Lelawati, 34.

Terdahulu, calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar hadir ke pusat mengundi ini jam 9 pagi bagi meninjau perkembangan terkini di sini.

Beliau ditemani Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan beberapa penyokong parti.

Kedua-dua mereka meninggalkan pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Linggi 30 minit kemudian.

Tempoh berkempen tamat tengah malam tadi selepas 14 hari berkempen.

Proses pengundian di PRK Port Dickson bermula jam 8 pagi ini, dengan seramai 68,317 pengundi dijangka menunaikan tanggungjawab masing-masing di 32 pusat mengundi, membabitkan 154 saluran.

Ini adalah PRK keempat diadakan selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong – ketiga-tiganya di Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan