Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun (tengah) meninjau proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 09 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Dua penyokong parti politik diberi amaran keras oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menjauhkan diri daripada berdiri di pintu masuk Pusat Daerah Mengundi Sekolah Kebangsaan Teluk Kemang hari ini.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun memberi amaran tegas itu setelah menerima aduan dua penyokong parti politik dilihat berdiri dengan bahan yang mempunyai lambang dan bendera parti.

Katanya, beliau memandang serius perbuatan parti bertanding itu dan mengingatkan supaya meninggalkan kawasan itu segera dan mengekalkan jarak pada 50 meter yang disyaratkan dari PDM.

“Saya terima aduan itu dan ingin menegaskan berkempen pada hari mengundi dilarang sama sekali kerana bertentangan dengan peraturan dan undang undang serta tindakan tegas boleh diambil.

“Saya tidak kisah siapa mereka..sila hentikan perbuatan itu serta merta dan jangan melanggar peratusan.

“Saya telah mengarahkan penguatkuasa pilihan raya supaya bertindak segera dan memberi amaran kepada pihak pihak yang melakukan perbuatan itu hentikan segera dan beredar dari pintu masuk PDM,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan memantau proses perjalanan PRK Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Port Dickson di sini bersama Setiausahanya Datuk Mohamed Elias Abu Bakar.

Seramai 4664 pengundi mengundi di sekolah itu di 10 saluran yang dibuka sejak 8 pagi tadi.

Ditanya sama ada tindakan susulan akan diambil terhadap penyokong yang berkempen di hadapan SK Teluk Kemang, Azhar bagaimanapun berkata, pihak SPR hanya boleh menasihati mereka untuk menghentikan perbuatan itu atau mengekalkan kedudukan pada jarak 50 meter dari pintu masuk Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Berkempen pada hari mengundi dilarang sama sekali, saya berharap mereka memberi kerjasama atau SPR tidak teragak agak untuk bertindak terhadap mereka,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan