Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berucap pada Program Malaysia A New Dawn di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 OKTOBER 2018
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) memberi tumpuan kepada sasaran pertumbuhan ekonomi serta strategi untuk memulihkan kedudukan kewangan kerajaan bagi tempoh dua tahun akan datang.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perkara berbangkit akan diperincikan dan diperhalusi serta hasilnya bakal diumumkan di dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 dan Belanjawan 2019.

Selain itu katanya, Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana akan memastikan kedudukan kewangan dan keupayaan fiskal kekal kukuh serta bagi mewujudkan ruang fiskal.

Ia jelas beliau agar kerajaan bersedia menghadapi sebarang ketidaktentuan risiko ekonomi global ekoran peperangan perdagangan di antara negara Amerika Syarikat dan China.

“Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk mengimbangi kestabilan ekonomi dan langkah konsolidasi fiskal dengan mengurangkan hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan yang tinggi demi mencapai aspirasi Malaysia Baharu dan berusaha meningkatkan sumber hasil dan mengurangkan kos.

“Berteraskan prinsip kompetensi, akauntabiliti dan ketelusan, Kerajaan Persekutuan kekal komited untuk meningkatkan kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan negara agar dapat mencapai matlamat meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

FHC hari ini telah bermesyuarat buat julung kalinya bagi tahun 2018 yang bertujuan meneliti kedudukan terkini fiskal dan ekonomi negara dengan perbincangan utama melibatkan sasaran pertumbuhan ekonomi serta strategi untuk memulihkan kedudukan kewangan kerajaan dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana.

Jawatankuasa FHC dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan turut dianggotai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan