Mohd Redzuan Md Yusof.
Menteri Pembangunan Usahwan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menurunkan tandatangan sebagai pelancaran Pusat Sehenti Keusahawan pada Majlis Pelancaran Pusat Sehenti Keusahawan dan MyPerintis-Revbiz Talk di Bangunan SME Corporation, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mendedahkan telah tiga kali menolak darjah kebesaran yang ingin dianugerahkan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob sebelum ini.

Jelasnya, sebab penolakan sebelum ini adalah kerana menyedarinya sebagai rakyat marhaen.

“Dulu tiga tahun berturut-turut nak bagi saya tapi saya kata belum masanya lagi, sekali ni dia nak beri saya terimalah.

“Saya rakyat marhaen (sebab sebelum ini tak terima),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di SME Corp sebentar tadi.

Menyedari ia isu yang menjadi pertikaian namun Redzuan yakin penganugerahan tersebut atas sebab yang munasabah.

“Saya nak komen nanti macam-macam kita ni kalau TYT dah bagi kita terimalah mesti ada sebab-sebab tertentu dia bagi saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pertikaian terhadap penganugerahan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’  bersempena sambutan ulang tahun ke-80 Tun Dr Mohd Khalil Yaakob minggu lepas.

Redzuan merupakan salah seorang antara lima menteri Kabinet yang menerima gelaran tersebut iaitu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Menteri Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun. – MalaysiaGazette