Wee Ka Siong
Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Komponen Barisan Nasional (BN), MCA berpendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan tergesa-gesa tentang pemansuhan hukuman mati mandatori di negara ini.

Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, kerajaan perlu mengambil kira perasaan keluarga mangsa sekiranya hukuman mati terhadap pesalah hukuman mati dimansuhkan.

“Kita kena tahu macam mana perasan keluarga mangsa sudah tentunya mereka tidak boleh terima dan reaksi daripada masyarakat begitu negatif. Keluarga mangsa memang tidak boleh terima.

“Kita kena jaga sentimen keluarga mangsa juga. Jadi saya gesa kerajaan melihat kembali, kalau mereka nak mansuhkan hukuman mati, mansuhkan dulu tol.

“Saya rasa kita boleh lihat secara pragmatik dan ini sudah menimbulkan reaksi yang pelbagai kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Dewan Rakyat hari ini.

Pada 7 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong memaklumkan kajian untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini berada pada peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri.

Terdapat 1,267 banduan berdepan hukuman mati menurut Seksyen 39B ADB 1952 tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan sejak 2014.

Mengulas mengenai perkara itu, jelas tindakan ini dibuat secara tergesa-gesa dan tidak mengambil kira kesan sampingan daripada pemansuhan hukuman tersebut.

“Saya rasa perlu kepada jawatankuasa pemilihan untuk meninjau sejauh mana perkara ini. BN pernah buat 12 tahun lalu, kalau nak pinda kita akan bincang dengan semua pihak dan mendapatkan reaksi daripada mereka.

“Cara yang terbaik dan mungkin boleh semak balik Akta Dadah Merbahaya 1952. Saya setuju kalau ianya secara mandatori hukuman mati sebab hanya pilihan sahaja memang susah hakim nak buat keputusan,”katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Malah beliau turut mendedahkan tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya PH. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan