Dr. Maszlee Malik
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bercakap kepada media pada Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah di Auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 OKTOBER 2018

KUALA LUMPURĀ – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berasa berang apabila pihak media masih mengajukan isu stokin sekolah selepas ia mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, semalam.

Maszlee bagaimanapun menegaskan beliau amat bimbang dengan kualiti pendidikan hari ini yang ditinggalkan pemerintah terdahulu.

“Kenapa ambil berat tentang stoking sedangkan kita ambil berat tentang kualiti pendidikan kita.

“Kalau anda mula mensensasikan isu remeh ini, jangan sangka orang akan tak akan cakap tentangnya.

“Media patut bercakap perkara yang lebih mendidik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah di Auditorium Bahagian Teknologi Maklumat, Bukit Kiara, hari ini.

Dr. Maszlee Malik
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik meluangkan masa melawat ruang pameran reka cipta pada Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah di Auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 OKTOBER 2018

Beliau mengulas kritikan sinis bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berhubung cadangan Menteri Pendidikan itu mahu menukar warna kasut dan stoking sekolah.

Najib dalam posting terbaru dalam akaun Facebooknya semalam menyifatkan Maszlee sebagai seorang yang berpandangan jauh dan meminta beliau mengkaji’ juga warna uniform dan bangunan sekolah.

Sabtu lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan pelaksanaan pemakaian kasut hitam bagi murid sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh Malaysia hanya akan berkuat kuasa sepenuhnya mulai 2021.

Penangguhan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan terdiri daripada persatuan ibu bapa dan guru, pentadbir sekolah, badan masyarakat dan pembekal kasut. – MalaysiaGazette