Datuk Shamsubahrin Ismail
Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media berkenaan pemandu teksi akan mengadakan himpunan besar-besaran berikutan isu kenyataan Tony Pua berkaitan Grab di Wisma Central Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 16 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan didakwa masih gagal mewajibkan pemandu bagi perkhidmatan e-hailing khususnya Grab berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berkuatkuasa 11 Julai lalu.

Penasihat syarikat pengendali teksi di Suria KLCC, Big Blue Capital Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, kegagalan itu didakwa berpunca daripada pihak penguatkuasaan yang lemah di agensi kerajaan terlibat.

“Menteri Pengangkutan Anthony Loke kata pemandu Grab kena daftar dengan kerajaan sama ada JPJ atau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tapi mengikut syarat pemandu.

“Tapi sampai hari ini penguatkuasaan yang dijanjikan tidak dilaksanakan masih lagi berleluasa di luar sana, pemandu Grab dia masih membawa kereta. Penguatkuasa masih tidak dijalankan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Central, di sini, hari ini.

Datuk Shamsubahrin Ismail
Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media berkenaan pemandu teksi akan adakan perhimpunan besar-besaran di Wisma Central Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 OKTOBER 2018.

Berkuat kuasa 11 Julai lalu, perkhidmatan e-hailing dikawal selia oleh kerajaan melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017.

Menurut Loke Siew Fook, melalui akta itu, syarikat e-hailing mesti berdaftar dengan SPAD sebagai Perniagaan Pengantaraan dan perlu membayar fi sebanyak RM115 setahun sama seperti ditetapkan kepada pemandu teksi.

Syarat yang dikenakan kepada industri e-hailing adalah selari dengan industri teksi daripada segi syarat kelayakan permohonan lesen, kenderaan, kelayakan pemandu dan operasi, bagi memberikan kesaksamaan kepada industri teksi.

Sementara itu, Shamsubahrin juga mempersoalkan tindakan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua yang sedang mengkaji kemungkinan bekerjasama dengan Grab sebagai alternatif kepada bas perantara sedia ada untuk pengguna MRT.

“Pada saya sama ada dia nak mengurangkan perbelanjaan bas dengan menggantikan Grab atau dia nak mengadakan Grab bagi membantu Grab dengan guna alasan orang ramai boleh menggunakan Grab.

“Bagi saya ia satu cadangan yang tidak munasabah. Kenapa dia tidak menggunakan industri pemandu terksi bersama dengan pihak berkepentingan yang menggunakan sistem e-hailing selain daripada Grab?

“Kenapa harus dengan Grab dia nak bincang kenapa tidak dengan semua pihak berkepentingan,” soalnya.

Katanya, sepatutnya pemandu e-hailing perlu mematuhi arahan kerajaan berdaftar dengan SPAD dan JPJ bagi memastikan padang sama rata di antara pemandu teksi konvensional dengan pemandu Grab.

“Kenapa Tony Pua dan pihak industri masih tidak berpuas hati? Kenapa Tony Pua atau kerajaan harus berbincang hanya dengan Grab dan tidak melibatkan syarikat e-hailing dan pemandu teksi lain?

“Sepatutnya Grab tidak terkecuali, di mana pemandu Grab dan pemandu teksi tidak dapat keistimewaan, semua kena sama rata, apa teksi kena buat, Grab kena buat,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan