KUALA LUMPUR – Semalam Lim Guan Eng berkata, beliau tidak pernah memberi jaminan bahawa pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan menyebabkan harga barang turun.

Susulan itu beliau mencabar mana-mana pihak membuktikan beliau pernah berkata demikian.

Mengambil cabaran itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memuatnaik kenyataan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua yang membuat kenyataan SST akan menurunkan harga barang.

“Lim Guan Eng berani pula tanya sejak bila kata SST akan turunkan harga barangan. Dia siap cabar untuk tunjukkan bukti.

“Setiausaha Politik dan ‘Macai’ Lim Guan Eng (bukan saya kata tapi dia sendiri kata) pernah kata SST akan turunkan harga barangan.

“Apa cerita sekarang ini?,” soal Najib melalui Facebook beliau.

Najib secara sinis menyatakan strateegi komunikasi Pakatan Harapan sangat hebat kerana ‘lain orang lain cerita’ hingga kenyataan-kenyataan yang pernah dikeluarkan perlu disemak semula.

“Kadang-kadang kenyataan-kenyataan yang YB-YB Kerajaan keluarkan sekarang ini, saya rasa macam saya perlu check balik pendengaran saya, betulkah mereka cakap begitu?,” ujarnya.

Beliau mempertahan kenyataan bahawa kehidupan rakyat semakin susah dengan SST kerana kos hidup semakin menekan.

“Cuba kita tanya diri, dapatkah kita merasai manfaat penggantian GST dengan SST?,” soalnya.

Ditambah pula kerajaan tidak cukup hasil kutipan untuk membantu rakyat hari ini dan cukai baharu akan diperkenalkan.

Di sebalik ini pula, pemimpin kerajaan pula semakin selesa di pejabat dan ke hulu ke hilir dan menikmati pelbagai kemudahan.

“Melupakan rakyat, sebagaimana manifesto mereka,” tambah Najib. – MalaysiaGazette