Seorang perokok sedang melintasi lukisan pada dinding yang memaparkan mengenai perbezaan warna paru-paru individu yang merokok dan tidak merokok ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Shah Alam, Selangor. foto IMRAN FAKHRI, 1 FEBRUARI 2018
Seorang perokok sedang melintasi lukisan pada dinding yang memaparkan mengenai perbezaan warna paru-paru individu yang merokok dan tidak merokok ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Shah Alam, Selangor. foto IMRAN FAKHRI, 1 FEBRUARI 2018

PORT DICKSON – Kerajaan diingatkan supaya tidak menekan lima juta perokok di Malaysia atau melayan mereka seperti orang yang melakukan jenayah berat.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura, Datuk Ho Su Mong berkata, dengan mengenakan denda sehingga RM10,000 dan penjara dua tahun kepada orang yang merokok di kawasan larangan, perokok dilihat tidak lain seperti penjenayah berat.

Katanya, keadaan itu amat berlainan dengan Singapura yang hanya mengenakan denda sebanyak 500 dolar Singapura  (RM1,510).

“Ini menunjukkan kerajaan telah menekan perokok sedangkan merokok adalah dibenarkan dalam undang-undang Malaysia,” katanya dipetik Sinchew Daily.

Su Mong berkata demikian dalam satu program di Port Dickson pada malam hari Isnin, iaitu sehari sebelum Kementerian Kesihatan mengumumkan keputusan mengenai kenaikan harga rokok pada Selasa.

Su Mong sebelum ini mencadangkan supaya zon atau sudut merokok dibenarkan di kedai kopi, tetapi cadangan itu tidak diterima kerajaan yang mahu menjadikan pusat penjaja dan semua kedai kopi sebagai zon larangan merokok tanpa mengira berhawa dingin atau sebaliknya.

Su Mong berkata, kerajaan semasa jangan lupa bahawa perokok jugalah yang mengundi sekali gus membolehkan kerajaan baharu terbentuk.

“Kerajaan tidak pernah berbincang dalam soal kawasan larangan merokok, sehinggakan pengusaha kedai kopi berasa tertekan dengan apa yang mahu dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan pada 2015 mewartakan 23 lokasi sebagai kawasan larangan merokok, tetapi langkah itu tidak berjaya menurunkan jumlah perokok di negara ini, malahan tabiat merokok semakin meresap ke dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Dalam isu berlainan, Su Mong ketika dihubungi Sinchew Daily menyuarakan tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk meningkatkan umur larangan pembelian minuman keras daripada 18 tahun kepada 21 tahun.

Beliau berkata, langkah itu adalah tidak masuk akal kerana kerajaan mahu membenarkan mereka yang berumur 18 tahun untuk mengundi, tetapi melarang golongan yang boleh mengundi itu untuk membeli minuman keras.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengumumkan pada Isnin larangan penjualan minuman beralkohol kepada mereka yang berusia 21 tahun ke bawah berkuat kuasa serta-merta.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa harga jualan runcit bagi semua jenama rokok akan dinaikkan dalam tempoh tiga minggu lagi. – MalaysiaGazette