Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) berpendapat penganjuran pesta arak atau Octoberfest di sebuah kompleks beli belah terbesar di ibu kota tidak boleh dilakukan.

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pesta arak adalah simbolik kebiadaban pihak tertentu kerana penganjuran secara terbuka itu mencerminkan sikap tidak menghormati agama dan budaya majoriti umat Islam di Malaysia.

Tambahan lagi, katanya, pesta arak itu juga akan mengundang perilaku buruk, sekali gus memudaratkan orang lain.

Jelas beliau, kebanyakan negara luar menghalang pesta arak kerana kesannya agak kritikal seperti perlakuan jenayah, kerosakan harta benda dan kematian.

“Tidak ada sebab dan keperluan untuk membenarkan pesta arak itu dilakukan di negara ini.

“DPPM dalam masa yang sama kekal berpendirian orang bukan Islam tidak ditegah minum arak. Mereka berhak selagimana tidak mengganggu gugat kepentingan orang lain.

“Contoh gangguan seperti pergaduhan, kemalangan dan pembunuhan boleh berlaku disebabkan hilang pertimbangan kewarasan akal. Bagi orang Islam, hukum minum arak adalah haram secara jelas,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok berkata, sayap Pas itu menyokong penuh kenyataan pemimpin tertinggi parti mengenai larangan keras itu dan sepatutnya dicontohi parti politik yang lain.

“Sekali lagi ingin ditegaskan, Pas tidak menghalang orang bukan Islam minum arak, tetapi tidak sesekali bersetuju dengan penganjuran pesta tersebut. Umat Islam harus bimbang sekiranya kemungkaran dizahirkan, maka ia akan mengundang kemurkaan dari Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan