Ismail Sabri
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – “Sekarang bukan masa yang sesuai untuk UMNO berbincang tentang status presidennya,” kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ujarnya, ahli tidak sepatutnya mempersoalkan perkara itu tatkala Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang berdepan pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akal Budi.

“(Status) akan ditentukan nanti oleh Majlis Tertinggi. Kita belum tahu lagi, biarlah…selesaikan dengan tuduhan ini duhulu, lepas tu baru kita bincang mengenainya.

“Tak perlu fikir tindakan yang akan beliau terima. Kita hadir hari ini untuk menunjukkan sokongan kepada Presiden ketika hadapi musibah.

“Tidak perlu terburu-buru. Beliau tengah susah, elok kita sama-sama hadapi kesusahan itu,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Menurut bekas menteri itu, segalannya akan ditentukan Ahli Majlis Tertinggi parti selepas selesai proses pertuduhan yang dilemparkan kepada Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pertuduhan terhadap Ahmad Zahid itu tidak akan melunturkan semangat dan sokongan ahli parti malah ia merupakan titik tolak menaikkan semangat ahli.

“Yang dituduh bukan Ahmad Zahid, tapi Presiden UMNO. Jadi sebagai ahlk, kita bertanggungjawab untuk menyokong pemimpin. Ramai ahli yang hadir, dari seluruh negara.

“Perkara ini tidak menjejaskan sokongan parti, bukan setakat tidak jejas malah menaikkan semangat ahli kerana mereka merasakan ini merupakan pendakwaan terpilih dan bersifat politik yang bertujuan untuk melemahkan parti,” katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu, terdahulu tiba di kompleks mahkamah pada jam 8.20 pagi dengan diiringi pihak polis.

Beliau yang memakai baju batik berwarna jingga ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 3.15 petang semalam.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu akan menghadapi beberapa pertuduhan dibawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan