Penasihat DAP, Lim Kit Siangrucap pada Ceramah Mega Pakatan Harapan Dun Lukut sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Bilik Gerakan Dun Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 10 OKTOBER 2018.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

NILAI – Parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk MCA seharusnya memulangkan dana yang pernah diterima jika mengesyaki ia adalah wang curi, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Lim turut mempertikaikan kenyataan bekas Presiden MCA Dr Chua Soi Lek yang tidak mengesyaki dana diterima parti itu adalah wang curi, sedangkan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sudah menjadi isu besar sekitar tahun 2013 lagi.

“Dia tau… (status dana) tetapi dia kata ‘kalau bapa yang bagi adakah kita akan tanya sama ada wang itu dicuri’… jika anda tahu atau syaki ia adalah wang curi, anda perlu tanya.

“Saya fikir semua parti politik termasuk UMNO, MCA, Gerakan, MIC dan parti komponen di Sabah dan Sarawak perlu pulangkan wang yang mereka terima daripada 1MDB supaya wang itu boleh dikembalikan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Kebangsaan: Visi Dalam Aspirasi Malaysia Baharu bersempena Muktamar Sanawi kali ke-47 anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia.

Dr Chua dalam temu bual bersama sebuah portal tempatan mengakui menerima dana pilihan raya anggaran RM16.5 juta bagi Pilihan Raya Ke-13 daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau bagaimanapun menjelaskan tidak mengetahui sumber dana berkenaan. – BERNAMA

Tinggalkan Jawapan