Datuk Liew Vui Keong
Liew Vui Keong

KUALA LUMPUR – Isu penubuhan tribunal bagi menyiasat dakwaan salah laku Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama ketika menguruskan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lagi berbangkit dengan pelantikan Azhar Azizan Harun sebagai pengerusinya yang baharu dan pemendekan tempoh jawatan timbalan pengerusi serta empat anggota suruhanjaya itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, pelantikan Azhar Azizan, seorang aktivis politik sebagai pengerusi yang baharu, juga tidak perlu dikhuatiri kerana pelantikannya telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dengan nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Maka kita faham SPR masa ini sedang menjalankan proses pembaharuan yang mana satu era baharu akan dipimpin pengerusi baharu dan saya yakin beliau akan menambah baik lagi proses SPR dan memberi idea-idea untuk mereformasikan SPR dan juga menyelesaikan masalah-masalah terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan menubuhkan sebuah tribunal bagi menyiasat dakwaan salah laku SPR terutama ketika menguruskan PRU14 dan untuk tujuan pemecatan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 114 (3) dan 125 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Baru-baru ini, SPR mengeluarkan kenyataan bahawa tempoh perkhidmatan Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood dan empat anggota suruhanjaya iaitu Datuk Md Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi dan Datuk Leo Chong Cheong telah dipendekkan sehingga 1 Jan 2019.

Liew berkata mengenai isu-isu berkaitan PRU14 yang membelenggu SPR seperti isu borang 14, perkara itu telah dimasukkan dalam petisyen pilihan raya dan mahkamah telah membuat keputusan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan