Kamarudin Mohd Hussain
Yang Dipertua Gabungan Teksi Semalaysia, Kamarudin Mohd Hussain bercakap kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil pejabat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) berhubung isu persaingan perkhidmatan antara teksi dan grab di Menara SSM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPURĀ – Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) berhubung wujudnya persaingan tidak sihat dalam aplikasi perkhidmatan e-hailing Grab.

Yang DiPertuanya, Kamarudin Mohd Hussain mendakwa, Grab menggunakan taktik kotor memancing pelanggan dengan mempamerkan kadar tambang teksi yang lebih mahal berbanding perkhidmatan e-hailing yang lain.

“Dalam aplikasi Grab, syarikat pengendali e-hailing ini telah memanipulasikan kadar tambang teksi.

“Ia bagi menampakkan kadar tambang teksi lebih mahal daripada kadar sebenar.

“Alhamdulillah pihak MYCC telah menerima laporan kita dan bekerjasama dengan pihak kami,” katanya kepada pemberita yang ditemui di lobi Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), di sini, hari ini.

Terdahulu Kamarudin bersama lapan wakil pertubuhan teksi tersebut hadir ke MYCC di Menara SSM, Kuala Lumpur Sentral, kira-kira jam 10.50 pagi tadi.

MGF24102018_PERTEMUAN ANTARA TEKSI DAN MYCC01
Yang Dipertua Gabungan Teksi Semalaysia, Kamarudin Mohd Hussain hadir untuk mengadakan pertemuan dengan wakil pejabat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) berhubung isu persaingan perkhidmatan antara teksi dan grab di Menara SSM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 OKTOBER 2018.

Pada mulanya mereka tidak dibenarkan naik ke pejabat MYCC dan dihalang oleh pihak keselamatan Menara SSM.

Setelah berbincang hampir 15 minit, mereka dibenarkan naik ke pejabat MYCC dengan dikawal ketat.

Petugas media pula tidak dibenarkan memasuki Menara SSM dan mereka hanya dibenarkan menunggu di luar bangunan agensi kerajaan itu.

Bagaimanapun pihak keselamatan Menara SSM kelihatan seolah-olah mengambil alih tugas media apabila merakam visual pemandu-pemandu teksi ketika berada di lobi bangunan.

Kamarudin juga mendakwa aduan itu bukan kali pertama diajukan pihaknya kepada MYCC bahkan ia pernah dibuat semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Saya pernah rujuk kepada pihak MYCC di zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi aduan saya tidak dilayan. Jadi saya adukan sekali lagi di zaman pemerintahan Pakatan Harapan.

“Alhamdulillah aduan saya dapat perhatian dan saya dipanggil MYCC hari ini untuk memberi penjelasan serta membawa bukti-bukti sahih untuk membuktikan dakwaan saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Bekas Pengerusi SPAD kecam pemandu teksi

TERKINI : “Isu Saya Sekarang Kenapa Grab, Bukan Teksi?” – Dato Shamsubahrin

Promosi Grab, Pakatan Harapan hancurkan periuk nasi pemandu teksi

 

Tinggalkan Jawapan