IPOH – Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) memohon maaf kepada penyokong bola sepak negeri ini susulan kesulitan untuk mendapatkan tiket final Piala Malaysia antara pasukan The Bos Gaurus dengan Terengganu, Sabtu ini.

Presidennya Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata bagi membolehkan semua peminat Perak atau The Bos Gaurus mendapatkan tiket, pihaknya mengagihkan 35,000 tiket yang diperuntukkan ke tujuh lokasi berbeza di seluruh negeri.

“Berlaku sedikit kekecohan dan kesulitan urusan pembelian tiket hari ini, kita telah cuba  yang terbaik untuk agihkan di setiap daerah dan permintaan yang sangat tinggi di luar kemampuan untuk mengurus dan mengagihkannya.

Saya memohon maaf bagi pihak PAFA kami cuba yang terbaik dan berlaku telus dalam urusan penjualan tiket tidak ada siapa yang monopoli,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hasnul tidak menafikan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap penjualan tiket tersebut dengan menjualnya pada harga yang mahal.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, bahang final Piala Malaysia antara Perak dengan Terengganu FC (TFC) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini kian terasa apabila 10,000 keping tiket dalam talian untuk golongan dewasa, habis dijual tidak sampai setengah jam.

Ketua Pegawai Eksekutif Tickethotline International Sdn Bhd, Datuk Zairil Ayu Ibrahim berkata  jualan  tiket dalam talian berkenaan yang mengehadkan pembelian empat keping tiket setiap seorang, mendapat  sambutan hangat sehingga laman sesawang jualan;www.tickethotline.com.my mengalami kesesakan luar biasa.

“Saya akui jualan tiket pada tahun ini agak cepat dengan 10,000 keping tiket dewasa habis dijual dalam tempoh setengah jam, namun ibu bapa yang berminat masih boleh mendapatkan tiket untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun yang masih dijual dalam laman sesawang kami,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi entri dalam  laman  Facebooknya  memaklumkan  orang ramai yang membuat pembelian dalam talian boleh menebus tiket masing-masing di Kaunter A, Stadium Shah Alam bermula esok dari pukul 10 pagi sehingga 6 petang (rehat untuk solat Jumaat dari pukul 12.30 tengah hari sehingga 2.30 petang).

Kaunter berkenaan akan turut dibuka untuk penebusan tiket pada hari perlawanan dari pukul 10 pagi sehingga 7 malam.- BERNAMA

Tinggalkan Jawapan